Friday, August 6, 2010

Sebuah Perjuanganku [Bahagian Dua]

Untuk membaca bahagian satu, sila klik sini

....kedengaran bunyi ketukan di pintu, aku terdiam serta merta, begitu juga dengan Tan Sri Datu Maan dan semua yang ada disitu. Aku menundukkan kepala dan duduk perlahan, kepalaku memandang si pengetuk tadi. Aku menghembuskan nafas berat sekali.

"Apa yang kamu bising-bising ni hah?" suaranya yang agak keras kedengaran, terpandang seraut wajah yang cukup aku hormati berdiri tepat di depan pintu, orang itu adalah Pangeran Datu Johan, ayahanda kepada Tan Sri Datu Maan, orang yang banyak berjasa denganku selama ini, budi baiknya tidak akan pernah aku lupa seumur hidupku.

Pangeran Datu Johan sudah berusia dalam lingkungan 80 tahun, tetapi masih gagah lagi, menurut dari cerita-cerita yang ku dengar, satu masa dahulu Pangeran Datu Johan merupakan seorang pendekar terbilang dengan kepandaian silat dan ilmu batin yang tersohor sekali.

"Pangeran..."

"Ayahanda, Johar ni, dia cuba menghalang pembinaan resort kita." Pantas Tan Sri Datu Maan bersuara memintas bicaraku.

Aku sedikit tersentak bila mendengar perkataan 'kita', apa maksudnya? Darah seakan-akan menyirap di seluruh wajahku saat ini. Adakah Pangeran sendiri terlibat dalam pembinaan resort yang akan menjahanamkan Kampung Sukodon Apat? Mungkinkah?

Suasana menjadi hening sebentar, kami hanya saling berpandangan satu sama lain sebelum Pangeran Datu Johan memecahkan kesunyian dengan suaranya yang garau.

"Johar, kamu baliklah dulu, nanti kami akan bincang perkara ini terlebih dahulu dan selepas itu kamu akan di panggil kemari." Pangeran Datu Johan memberikan kata putus padaku.

Kerana budi dan jasanya, maka dengan berat hati aku melangkah keluar dari pejabat dengan langkah yang lemah. Apakah dayaku, tapi benarkah Pangeran Datu Johan bersuhabat dalam hal ini? Tergamakkah dia?

Satu tepukan di bahu kananku menarik dan menghapus seluruh ingatanku, perlahan aku mula kembali ke alam realiti, tiada lagi 'ketegangan' suasana pertengkaran tadi. Aku menarik nafas lega. Peristiwa beberapa hari lalu itu amat membebankan jiwaku.

Aku menoleh, rupanya Lamdan yang menepuk bahuku tadi. Dia tersenyum, walaupun tawar, aku tahu dia juga ikut risau memikirkan nasib yang bakal terjadi. Belum ada tanda-tanda bahawa projek resort akan diberhentikan dan aku pula masih belum di panggil oleh Pangeran Datu Johan, entah apa yang berlaku, aku sendiri tidak pasti.

"Johar....terima kasih kerana berusaha untuk kami...tak perlulah kamu salahkan diri kamu sendiri, mungkin memang inilah yang akan terjadi pada kami."

Tambah sayu hati ini mendengar kata-kata Lamdan, Lamdan seorang yang baik, dia kawan yang memahami dan penuh pengertian, apa nasib yang bakal menimpa Lamdan dan keluarganya? Anaknya ada 4 orang semuanya, bagaimana keadaan mereka nanti?

Ingin rasanya aku mengoyakkan sahaja notis yang di pacak tegak di hujung jeti, notis jahanam yang bakal menghancurkan masa depan kampung nelayan ini.

Haruskah aku menyerah kalah begitu mudah? Tidak! Sudah tentu tidak! Perjuangan belum selesai, ia baru bermula.

"Lamdan, saya akan pastikan Kampung Sukodon Apat ini tetap disini." aku bersuara agak tegas, meluahkan hasrat teguh di hati.

"Entahlah Johar, mereka terlalu berkuasa, kita hanya ibarat timun, sedangkan mereka adalah durian, tak kira siapa menggolek siapa, tetap durian yang akan menang." lemah suara Lamdan kedengaran, selalunya dia yang paling bersemangat menanggapi setiap kata-kataku bagai peniup api yang sedang membakar, tapi kini....adakah memang sudah tiada harapan untuk kami?

Namun sekali azam telah tertanam, sekali itu juga tidak akan pernah gentar untukku menghadapi lawan biarpun mereka adalah orang yang pernah berjasa padaku, demi ratusan anak bangsa yang menagih simpati minta dikasihani.

Sumpahku ketika aku menjawat jawatan peguam masih kekal terpahat di hati, aku bersumpah untuk membela keadilan dan melawan ketidakadilan, kini perjalanan ini menuntut janji dan sumpah dariku, sumpah dari bicara bibir ini, adakah aku siap untuk menuntaskannya atau melarikan diri di tengah pergelutan?

to be continued / bersambung dah...

No comments:

Post a Comment