Saturday, May 1, 2010

Maafkan Daku Sayang

Azmian kelihatan terduduk lesu di depan pintu rumahnya, air mata mengalir lambat-lambat menuruni pipinya. Matanya membengkak kerana terlalu banyak menangis, kepalanya disandarkan di tulang pintu tidak bermaya, pandangannya jauh dan kosong. Sinar matanya sangat lemah dan tidak bersemangat langsung, seluruh tubuh badannya lemah longlai, mungkin kerana tidak ada setitik air dan sebutir nasi pun yang masuk ke dalam tubuhnya sejak beberapa hari lepas. Azmian yang periang dan penuh gurau senda kini mendadak berubah menjadi seperti patung hidup, tidak bersuara, tidak makan, tidak tidur dan hampir setiap waktu, dia hanya termenung memandang keluar rumah sambil menangis. Datin Miranda hanya mampu melihat perubahan tingkah laku anaknya itu, dia tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Puas sudah sejak beberapa hari dia cuba menasihati Azmian supaya jangan terbuai sangat dengan perasaannya itu, jangankan tidak mengikuti nasihat, ini langsung tidak menyahut balik. Seolah-olah fungsi pendengaran anak lelaki sulungnya itu tersekat. Mungkinkah anaknya akan jadi gila? Ya, Tuhan. Moga-moga tidaklah sampai seteruk itu, bisik hati kecil Datin Miranda. Ibu siapa yang sanggup melihat anaknya menjadi gila? Datin Miranda menarik nafas dalam-dalam dan menghampiri Azmian. Dia bersimpuh di sebelah Azmian dan merenung penuh kasih sayang pada anaknya itu, terlihat penderitaan besar dan perit yang sedang dipikulnya. Datin Miranda tidak dapat menahan sebak di dadanya, tanpa disedari, air mata turut gugur meluyuri pipinya. Tangannya mengusap-ngusap kepala Azmian penuh kasih. Sungguh, kenapa ini yang harus Azmian tanggung? Kenapa? Apa dosa anaknya ini sehingga dia harus merasai penderitaan sehebat ini? Mengapa Tuhan? Bertubi-tubi soalan mula mengasak benak Datin Miranda.

“Az…” terasa lemah dan penuh sedih suara Datin Miranda.
“Az…sudahlah…lupakanlah apa yang berlaku…”
“Biarlah yang sudah itu berlalu pergi…”

Tiada jawapan dari Azmian, yang ada air matanya yang semakin laju mengalir dan sedu-sedan yang semakin kuat. Datin Miranda juga semakin sayu dengan keadaan anaknya itu. Kedengaran bunyi kereta Mercedes milik Datuk Johan, suami Datin Miranda memasuki perkarangan rumah mereka. Datuk Johan masuk dan tercegat di hadapan pintu rumah.

“Hei! Azmian. Sedarlah diri kau sikit, perempuan tu perempuan tak guna. Kau orang kaya, dia apa yang ada?” Satu herdikan keras dilontarkan Datuk Johan bila dia melihat Azmian disitu. Namun seperti yang sudah-sudah, tiada sepatah kata yang keluar pun dari bibirnya yang kekeringan.

“Apa kau sudah tuli ya? Kenapa tak jawab! Jawab..Hei budak ni!” Datuk Johan hilang sabar dan cuba menampar Azmian namun sempat disambut oleh Datin Miranda.

“Awaklah penyebab anak kita begini. Kalau saja awak merestui hubungan mereka dulu, semua ini tak akan berlaku. Ini semua salah awak!” Datin Miranda berteriak keras pada Datuk Johan yang nampaknya amat kesal dan marah.

Datuk Johan segera berlalu naik ke atas. Azmian masih tetap diam tak bersuara, namun air matanya mengalir deras. Datin Miranda memeluk anak lelakinya itu sambil menahan tangisannya, air matanya juga mengucur laju. Dalam hatinya mula timbul perasaan yang amat kesal sekali, kesal kerana perbuatan suaminya dulu yang akhirnya menyebabkan anaknya jadi begini dan kesal kerana tidak berupaya menghalang perbuatan suaminya. Rasanya kalau mampu diputarkan waktu, ingin saja dia putarkan kembali edaran masa.

Masih jelas di ingatan, bagaimana rentetan perkara beberapa hari lepas berlaku. Cakera ingatannya mula membawa dirinya kembali ke saat itu. Waktu itu, genaplah usia Azmian 24 tahun, mereka membuat parti untuk menyambut ulang tahun kelahiran Azmian.

Suaminya, Datuk Johan sudah berpakat dengan sahabat baiknya Datuk Vincent untuk menunangkan anak perempuannya dengan Azmian. Mylianda sungguh gembira sekali kerana memang dari dulu lagi dia sukakan Azmian. Mereka menunggu kedatangan Azmian dari Johor Bharu dan bercadang untuk memberikan kejutan sambutan hari lahirnya pada petang itu. Bagaimana pun kehadiran Azmian di depan pintu bersama seorang gadis mengundang seribu pertanyaan. Sebelum papanya sempat bersuara, Azmian terlebih dahulu memperkenalkan gadis misteri itu. Ternyata gadis itu adalah pilihan hati Azmian dan dia ingin keluarganya merestui hubungan mereka. Betapa terkejut dan malunya Mylianda bila mengetahui Azmian tidak mencintainya. Datuk Vincent yang turut terkejut mendadak marah dan menyalahkan Datuk Johan sengaja mempermalukan mereka. Datuk Vincent dan keluarga segera beredar dari situ diikuti oleh para tetamu kehormat. Ini telah menjatuhkan maruah Datuk Johan di mata semua orang. Azmian dan Wewei kekasihnya, tidak tahu apa yang berlaku dan masih dalam kebingungan. Datuk Johan memarahi Azmian dan menghalau Wewei keluar dari rumah itu. Azmian mempertahankan Wewei namun dengan lembut gadis itu memberitahu bahawa tiada gunanya melawan kehendak orang tua. Wewei berlari pergi dengan linangan air mata. Azmian mengejarnya namun malang memang tidak berbau, ketika Wewei melintas jalan raya di hadapan rumah, tak semena-mena sebuah lori kontena melanggarnya. Tubuh Wewei digilis, hancur dan diseret sepanjang kira-kira 10 meter sebelum lori kontena itu berhenti. Azmian yang di belakang Wewei berteriak keras dan terkejut yang teramat sangat apabila melihat gadis yang sangat dicintainya hancur digilis di depan mata dan kemudian mati disitu juga, dihadapan matanya sendiri dan dia tidak mampu berbuat apa-apa.
Jenazah Wewei selamat dikebumikan pada petang keesokan harinya kerana Wewei tidak mempunyai saudara mara dan hanya tinggal sebatang kara. Sejak itu, Azmian terus berdiam diri dan seakan hilang identiti diri.

“Puan…Puan…” satu suara mengejutkan lamunan Datin Miranda. Dia segera menoleh ke belakang, rupanya Atin, pembantu rumahnya sedang tercegat mengangkat telefon.
“Ya?”
“Puan, ada panggilan dari Doktor Abdullah.” Atin menyerahkan telefon ke tangan Datin Miranda.
“Salam, selamat petang. Datin Miranda disini.”
“Salam Datin, selamat petang. Ini Doktor Abdullah bercakap.”
“Ya Doktor.”
“Begini, bolehkah Datin datang ke klinik saya besok? Saya ada hal penting untuk dibincangkan mengenai anak Datin, Azmian. Kalau boleh, bawa Datuk datang sekali.”
“Baiklah.”
Berdegup kuat jantung Datin Miranda bila nama anaknya disebut, dia terus berdoa semoga apa yang bakal disampaikan Doktor Abdullah esok adalah perkara positif, moga-moga dijauhkanlah dari perkara yang tidak baik.
“Datin..Datin..”
“Err…ya saya.”
“Jangan lupa ya, kalau boleh datang sebelum jam 10 pagi, sebab selepas tu saya ada satu pembedahan.”
“Ya, Doktor, saya dan suami akan datang esok.”
“Terima kasih.”
Talian dimatikan dan Datin Miranda masih termenung dan berfikir panjang. Mahukah suaminya menemankan mereka pergi esok? Masih marah sangatkah dia atas hal yang telah berlaku? Tapi takkan sampai tak sayang anak lagi?


-sekilas pandang dari cerpen 'Maafkan Daku Sayang' satu lagi kerya Alessandro B. Rahman

No comments:

Post a Comment