Thursday, May 20, 2010

Cerpen Lagi- " I lOvE yOu "

Pandangan mataku tertumpu pada segumpal awan putih yang seakan-akan saling berkejaran satu sama lain, langit begitu cerah pagi ini, cantik dan biru sekali. Udaranya terasa segar menyapa lembut pipiku, aku merasa bahagia dan damai. Kalaulah aku boleh merasakan suasana begini hari-hari alangkah indahnya. Seketika kemudian, kicauan burung menggamit perhatianku.

Kelihatan seekor burung yang kecil, berwarna kuning cerah dan paruh hitam yang agak panjang sedang melompat-lompat girang di atas ranting-ranting pokok yang berceracakan, agaknya burung apa ya. Aku belum pernah melihat burung seperti ini, terasa betapa naifnya aku tentang alam sekitar.

Prap! Bunyi itu langsung mematahkan keasyikanku, aku segera berdiri dan lantas berpaling ke belakang, tanganku juga sudah bersiap sedia jika terdapat sebarang kemungkinan buruk. Ternyata jangkaanku meleset sama sekali, rupanya itu Syafik. Dia tersengih sambil tersenyum nakal, barangkali tertawa lucu melihat kelakuanku, dalam keadaan seperti ini aku masih sempat berfikir kenapa Syafik ada disini pada pagi-pagi buta ni, jarum jam menunjukkan waktu baru pukul 6.15 am. Selalunya waktu begini, lelaki ni masih lagi berada di katilnya dan barangkali tengah melayan mimpi yang entah apa-apa.

“Woi, sudahlah tu, buat aku takut je!” Aku tersentak mendengar jerkahannya, dia berjalan menghampiriku. Aku kembali duduk merenung langit. Syafik tergamam seketika dengan tindakanku, perlahan dia duduk disampingku.

“Marah ke cik adik?” Syafik agak takut-takut bersuara.

“Mana taknya? Buat terkejut orang je.” Jawabku agak tegas sambil memuncungkan bibirku.

“Eh, gadis manis mana boleh buat begitu, nanti cepat tua.”

“Wah, bukan main berani dia mengusik begitu, nak kena ni.” bisik hati kecilku.

Aku menjeling tajam padanya dengan harapan agar dia berhenti mengacahku.

“Manja dengan abang ni yee..” Syafik makin berani mengusikku. Dia tersengih-sengih memandangku. Aku berdiri dan meninggalkan Syafik keseorangan disitu, pasti lelaki itu termanggu bersendirian, lantak dialah.

“Nak kemana tu? Marilah berbual dulu.”

“Balik rumahlah, layan majalah lebih baik.” Aku meneruskan langkahku dan kemudian terhenti. Aku mengusap daguku lembut dan kemudian berpaling ke belakang. Syafik masih duduk lagi, tidak sedikit pun dia bergerak.

“Selalunya matahari dah suluh rumah baru nak buka selimut, hari ni kenapa awal bangun pula?”

“Mana tahu ni?” begitu pantas dia berdiri sebaik mendengar kata-kataku. Syafik berlari anak menuju ke tempat aku berdiri.

“Yalah, Mak Cik Zainab yang bagitahu.”

“Jangan percaya dengan cakap mak saya tu, percaya dengan saya je.”

“Kenapa pula?”

“Yalah, selalu lambat bangun sebab tak ada nak buat, tapi hari ni ada kerja penting.”

“Kerja apa?”

“Apa lagi, temankan cik adik keliling kampung, kan nak buat projek pertanian?”

“Kerja kursuslah,” cepat aku membetulkan.
“Ya, ya.”

“Sekadar temankan atau ada maksud lain?”

“Dua-dua, sambil menyelam minum air.”

“Maksudnya?”

“Sebenarnya ada hal…” Syafik tidak jadi melafazkan bicaranya. Dia menggaru kepalanya dan tersenyum.

“Marilah, kita balik dulu, lepas sarapan nanti boleh kita pergi jenguk kawasan kajian.” Syafik mengorak langkahnya dan aku mengikutinya dari belakang. Aku mempercepatkan langkahku dan berjalan beriringan dengannya.

“Kenapa ni, dah senyap pula?”

“Tiada apa-apa.”

“Err, kalau tanya sesuatu boleh ke?” sambungnya semula, ada nada gementar pada suaranya. Aku tersenyum kerana merasa lucu, mujur tawaku tidak berderai keluar.

“Tanyalah, apa dia?” kataku dengan suara yang sengaja ku lembutkan dan aku menghadiahkan padanya jelingan mataku yang sedikit manja. Makin gugup pula budak Syafik ni.

“Err…err…” Syafik semakin menjadi tidak keruan untuk berbicara.

“Cakaplah apa dia?” kataku semakin tidak sabar.

“Kemana saja kamu berdua ni menghilang? Pagi-pagi dah merayap keluar.” Rupanya kami dah sampai depan rumah pun.

Mak Cik Zainab menggelengkan kepalanya bila melihat kami baru balik.

“Ala mak ni, kami hanya pergi ke belakang tu sekejap, Liza minta Along temankan dia untuk melihat-lihat kawasan sekitar, menatap keindahan semula jadi kampung”.

“Pandai pula budak ni buat alasan, bila masa aku minta temankan.” Bisik hati kecilku.

“Benarkah begitu Liza?” Mak Cik Zainab bertanya padaku pula.

“Emm, betul mak cik, lagipun saya belum biasa dengan suasana kampung ni lagi, nanti Liza nak minta Syafik temankan lagi ke tapak semaian di hujung kampung. Bolehkan Syafik?” jawabku tenang dan menyokong kata-kata Syafik.

Aku berlalu naik ke atas, sempat juga aku menjeling pada Syafik. Dia menggaru kepalanya sambil tersengih, mungkin tidak percaya yang aku akan berkata begitu. Aku tersenyum melihat telatahnya.

“Kamu tu, elok-elok temankan Liza, jangan cuba buat sesuatu yang tak baik.” Sayup-sayup ku dengar suara Mak Cik Zainab.

“Yalah mak, orang tahulah.”

Aku tidak mendengar suara mereka lagi bila aku sudah berada dalam bilikku. Aku duduk tepi katil dan mencapai senaskah majalah Siswa. Aku menyelak dan membelek setiap halaman. Memang mataku tertumpu pada ayat demi ayat yang terpahat di setiap helaian namun fikiranku bukan disana. Aku sibuk memikirkan kerja kursusku.

“Liza, marilah sarapan dulu.” Kedengaran suara Mak Cik Zainab dari luar. Aku meletakkan semula majalah itu di atas meja dan bergegas keluar.

“Duduklah Liza,” Syafik menarikkan sebuah kerusi untukku. Wah, sah memang benar mamat ni syok kat aku ni. Aku tersenyum dan melabuhkan punggungku di atas kerusi kayu yang disorongkan Syafik.

“Terima kasih.” Ringkas penghargaanku padanya, Syafik tersenyum sambil menganggukkan kepalanya berulang kali. Aku menggapai sebuah mangkuk yang dikhaskan untuk mencuci tangan, Syafik sekali lagi menolongku dengan menuangkan air ke tanganku. Dia kemudian memberikan sehelai tuala putih untukku mengelap tangan. Sekali lagi aku mengucapkan terima kasih.

“Hah, yang kamu tu masih tercegat apahal, marilah duduk makan.” Mak Cik Zainab baru keluar dari dapur menatang sepiring mee goreng. Mak Cik Zainab duduk di depanku manakala Syafik pula duduk di sebelahku.

“Eh, Pak Usu mana mak cik?”

“Oh, dia dah pergi kebun pagi-pagi tadi, pak cik kamu tu dah makan pun, awal-awal lagi.” Mak Cik Zainab menerangkan.

Mak Cik Zainab membaca doa dan selepas itu kami mula makan. Syafik pula asyik memandangku saja, entah apa yang diperhatikannya. Kalau Johan tahu yang ada mamat yang renung aku begini, tentu teruk Syafik ni dikerjakannya. Tapi aku pun sudah bosan dengan Johan, aku bukannya suka dengan dia, Johan saja yang perasan. Habis dicanangkannya yang aku ni milik dia, yang aku hairan boleh pula kawan-kawanku percaya dengan kata-kata si Johan tu. Kalau nak diikutkan, si Johan memang hensem tapi perangai dia memang teruk. Macamanalah aku nak terima dia, tak gentleman langsung, romantis pun tidak. Aku menyuapkan nasi lambat-lambat.

“Liza ada masalah? Mak cik tengok semacam saja.” Mak cik Zainab menegurku, mungkin dari tadi di memerhatikan kelakuanku.

“Eh, tak ada apa-apa pun mak cik.”

“Makanlah, nanti sejuk pula nasi tu, kalau sejuk tak sedap dimakan.” Syafik pula mencelah sambil tersenyum. Aku hanya mendiamkan diri saja.

Selesai makan, aku memastikan yang barang-barang untukku membuat kajian nanti sudah disediakan dan lengkap. Hari ini kami pergi ke dusun Pak Teh, sekadar meninjau-ninjau dusun itu. Syafik tidak habis-habis memandangku dan hari ini dia begitu prihatin menjaga ku setiap waktu. Kemudian, baru kami ke kawasan tanah runtuh bersebelahan rumah Pak Murad.

“Liza, kalau saya tanya satu soalan, jangan marah ya.”

“Tanyalah, kenapa pula saya nak marah?”

“Emm, kamu dah ada buah hati?”

“Kamu rasa?” jawabku selamba sambil tersenyum, dahinya sedikit berkerut mendengar jawapanku. Aku melangkah lebih jauh ke depan lebih cepat. Syafik terhenti dibelakangku. Aku ketawa kecil dan berpusing, mataku menatap matanya yang kelihatan resah dan aku menggelengkan kepalaku.

“Tekalah sendiri.” Pendek bicara yang keluar dari bibirku, aku menghayunkan langkahku lagi. Syafik berlari sehingga dia berada di sampingku.

“Err, berapa umur kamu sekarang?”

“Tekalah?”

“Emm…mungkin awal 24 tahun..25 atau 26?,”
“24.”

“Hmm, kampung kamu di mana?”

“Di bumi?” jawabku berseloroh.

“Kamu tahu tak? Kamu memang hensem tapi tak romantis.”

“Ya ke? Kalau lelaki romantis macamana?”

“Dia akan cakap mengenai keindahan alam dan berkata yang manis dan berbunga-bunga.”

“Hmm, tapi kadang-kadang kalau terlalu manis pun tak elok juga kan?” tanya Syafik seperti tak puas hati.

“Kerana tak romantislah perempuan tak nak.”

“Tapi kalau lelaki tak romantis asal jujur pun tak apa juga kan?”

“Ya, mungkin tapi kebanyakan perempuan mahukan yang romantis, penyayang, jujur dan baik hati,” jelasku.

“Kalau kamu nak lelaki yang macamana?”

“Saya nak lelaki yang baik hati, penyayang macam…”

“Macam siapa?” potongnya laju.

“Macam papa sayalah, baru aman bahagia.”

“Papa kamu bagaimana orangnya?”

“Ya macam yang saya katakan tadi.” Jawabku pantas.
Syafik terdiam seketika, dia berhenti dan menghalang jalanku.

“Liz…saya…er…saya…,” wah bukan main mamat ni panggil aku Liz.

“Kenapa cik abang oii..”

“Saya…er…takde apa-apalah.” Aku perasaan yang Syafik ni menggelabah.

“Okay, kalau macamtu jom balik.” Kataku ringkas.

“Err…ok.” Syafik kelihatan termanggu-manggu dengan kata-kataku.

Wah, dah hilang pula bicara mamat ni. Tiba-tiba Syafik menghalang dan sepantas kilat memegang bahuku dengan kedua-dua tangannya.

“Liza, boleh jawab soalan saya yang mula-mula tadi? Kamu sudah berpunya?”

“Kalau ya kenapa?” balasku merenung matanya.

Syafik menggaru-garu kepalanya sambil memandangku, ada garis kecewa di wajahnya. Lucu betul mamat ni..


Versi Preview Sahaja.
By Tamparuli Blogger@Penjejak Ilmu@Arri Muda@Alessandro Rahman

No comments:

Post a Comment