Ini pula kisah ketika aku dalam perjalanan balik dari OUM ke Tamparuli.(Lepas habis kuliah lah ni)
Hujan renyai-renyai di sepanjang perjalanan pulang dari OUM ke Tamparuli. Sepanjang perjalanan ketika memandu, aku sempat memandang pemandu-pemandu lain semasa sedang memandu dan ketika berhenti di lampu isyarat. Terdetik di hati, siapapun mereka, apa pun yang mereka sedang lakukan dan di mana pun hala tuju mereka, pasti mereka ingin selamat tiba sampai di destinasi yang mereka tuju, sama juga dengan aku, siapapun pasti ingin selamat sampai. Namun aku mula mengingati kembali pelbagai kes-kes ngeri yang berlaku melibatkan kemalangan maut di jalan raya, apakah yang terjadi? Mereka tidak tiba di destinasi, orang yang tunggu mereka akan tetap menunggu sehingga menerima khabar mendukacitakan. Perkara sedih berlaku pada mereka. Sekiranya mereka kemalangan dan hanya cedera, mereka sekurang-kurangnya masih dapat berjumpa dengan keluarga, berbicara dan mungkin sempat meminta maaf dan lain-lain. Bagaimana pula dengan mereka yang terus meninggal? Mereka tidak sempat menghabiskan perkara dan kerja mereka yang mungkin terbengkalai, mungkin tidak sempat meminta maaf pada orang-orang tersayang, pada ibu, pada bapa, pada suami, pada isteri, pada anak, pada kawan-kawan dan ramai lagi. Mereka meninggal dalam keadaan yang tidak bersedia sebenarnya, ini yang menyedihkan. Sekiranya kita tahu bila kita akan pergi, kita masih sempat memperbetulkan segala silap kita, menghabiskan apa yang kita lakukan dan memperbaiki semuanya, tapi kalau pergi secara mengejut, masih sempatkah?
Atas sebab itu, sebelum keluar rumah dan jalan, haruslah kita meminta maaf sekiranya bersalah pada sesiapa pun juga, dan paling penting berdoa meminta perlindungan dari Tuhan. Andai memang kita sudah ditakdirkan mati di dalam perjalanan kita, kita mati di dalam tangan Tuhan dan kita mati dalam keadaan yang beringat dan bukannya dalam keadaan leka dan khayal. Kerana itu, jangan tangguhkan apa pun tugasan kita, usahakanlah agar selesai, iaitu tugasan hari ini untuk hari ini, jangan bawa untuk hari esok kerana esok ada tugasannya yang tersendiri. Kematian itu sudah pasti datang tetapi beringatlah kita sentiasa, berdoa dan insaflah, berbuat baik sementara masih diberikan peluang pada hari ini untuk bangun dan bernafas. Bersyukurlah atas segala rahmat yang kita perolehi, bersyukurlah yang hari ini kita masih hidup untuk berbuat sesuatu yang baik. Kemalangan maut di jalan raya adalah tragedi ngeri kerana ia boleh berlaku pada siapa saja tidak kira dimana dan ianya datang mengejut tanpa amaran bak kata “Malang Tidak Berbau”. Berhati-hatilah sentiasa tidak kira dimana pun anda berada, ingat orang yang tersayang, fikir sejenak apa yang akan berlaku pada mereka sekiranya anda tiada. Renung-renungkan dan salam ceria.
No comments:
Post a Comment