Pernahkah anda dengar kata-kata ini?
“Kita adalah apa yang kita makan”
Maksud kata-kata tersebut adalah betapa pentingnya menjaga pemakanan kita demi untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita secara menyeluruh. Makanan adalah satu keperluan penting untuk tubuh badan kita dan berpengaruh terhadap kesihatan kita, makanan yang tidak elok memudaratkan kesihatan, makanan yang baik menjadikan tubuh kita sihat dan cergas.
Aplikasi sama juga berlaku pada tahapan minda kita. Pernah anda dengar pula kata-kata ini?
“Anda adalah apa yang anda fikirkan”
Sungguh dalam makna ayat ini bukan? Mind Set kita yang menentukan siapa diri kita yang sebenarnya. Kita tidak dapat memilih untuk lahir seperti apa, kita tidak berpeluang untuk menentukan jantina yang kita kehendaki, samada lelaki atau perempuan, kita tidak berpeluang untuk lahir dalam kalangan yang kita pilih, samada lahir dalam kalangan orang biasa, orang berpangkat, raja-raja, orang-orang kaya dan sebagainya, kita tidak berpeluang untuk pilih wajah yang kita inginkan dan banyak lagi yang kita tidak berpeluang untuk memilih, kenapa? Kerana Tuhan yang tentukannya dan jalan inilah yang kita harus tempuhi dengan seribu satu kejutan termasuk baik atau buruk yang tidak kita ketahui, sebab itulah hidup adalah satu misteri dan kita sebagai insan harus bijak menentukan jalan kita berdasarkan pegangan iman, doa dan usaha serta tawakal.
Namun begitu, jalan hidup yang telah ditentukan Tuhan ini, kita diberi kebebasan untuk mencorakkannya. Mencorakkan membawa erti kita boleh pilih apa yang kita mahu untuk menghiasi jalan kita itu. Kita mahu berjaya, kita pilih untuk berjaya, semuanya di dalam minda kita, kita hanya perlu keluarkannya sahaja.
Kebanyakan orang, bila ditanya tentang matlamat hidup, ramai sekali yang akan tergaru-garu kepala. Sangat jarang sekali kita jumpa yang akan dapat menjawab dengan lancar pertanyaan ini. Hidup ini harus bermatlamat, sekiranya tidak, kita akan terumbang ambing. Semasa masih bergelar pelajar, tentu kita semua kenal dengan erti Long Term Goal dan Short Term Goal bukan? Target jangka pendek dan jangka panjang, target ini harus dan wajib dalam diri setiap pelajar sekiranya dia mahu berjaya dengan cemerlang di dalam perjalanannya mencapai kegemilangan akademik.
Begitu juga di dalam hidup kita, sekiranya inginkan kejayaan, matlamat jelas harus ada. Apakah target anda? Impian hidup? Matlamat? Seperti apa yang anda inginkan?
Letakkan di dalam minda anda hari ini. Untuk mencapai kejayaan di dalam hidup, ianya semudah A B C sahaja. Bila anda berdepan dengan masalah, anggap itu adalah hanya satu puzzle yang harus anda selesaikan, katakan pada diri anda, yang anda mampu menangani masalah tersebut dengan segala daya usaha anda. Jika anda rasa tidak mampu, minta bantuan rakan yang dipercayai, isteri, suami, ibubapa, ketua atasan atau siapa sahaja yang anda rasa dapat membantu anda.
Ramai orang berpendapat mereka mampu menyelesaikan masalah mereka sendiri, tetapi sebenarnya tidak. Berkongsi dan meminta pandangan adalah salah satu cara bagaimana untuk menangani masalah di dalam hidup kita.
Formula Kejayaan :
1- Pilih apa yang anda mahukan.
2- Ubah persepsi minda anda.
3- Kenali bakat Anda.
4- Fokus pada apa yang anda mahukan.
5- Usaha ke arah itu
6- Miliki impian anda!
Misalnya anda mahukan kekayaan di dalam hidup. Anda letakkan di dalam minda anda yang anda adalah seorang jutawan, yang ada banyak wang, anda semakin hari semakin bebas dari masalah kewangan, hidup anda dilimpahi wang ringgit, jangan fikir mengenai susahnya mendapat wang, tetapi yakin dan percaya diri anda adalah magnet berkuasa yang menarik wang dari seluruh penjuru. Lakukan setiap hari, gunakan kaedah visualisasi iaitu kaedah pembayangan yang anda orang kaya. Gunakan saranan diri positif, guna kaedah affirmasi, setiap hari, semakin banyak duit yang ku miliki, lakukan dengan penuh percaya, santai dan pasrah. Jangan lupa berdoa dan bersyukur atas segala yang anda miliki hari ini. Kemudian cuba gali dan cari potensi diri anda pula, anda mahir di dalam bidang apa? Penulisan? Jika ya, cuba menulis dan menghasilkan karya serta idea idea baru, fokus pada impian dan matlamat kekayaan anda itu, tetapkan matlamat, contohnya dalam 10 tahun untuk menjadi top jutawan di Malaysia. Cari tahu apa sahaja untuk anda menuju ke arah impian anda itu, usaha dan usaha dan usaha serta kuasa minda yang anda aplikasikan akan membawa anda kepada peluang dan peluang dan peluang ke arah impian anda itu. Akhir sekali, miliki dan kuasai impian anda. Berfikirlah secara jutawan dan anda adalah jutawan. Manusia lahir dengan penuh keistimewaan dan kekayaan, merasa diri anda tidak kaya?
Renung sejenak, anda mempunyai mata yang boleh melihat, bolehkah orang terkaya dunia membeli mata yang sebagus dan sebaik mata anda dengan wang? Tidak sama sekali sebab tiada satu pun manusia mampu mencipta mata manusia melainkan Tuhan. Lihat sejenak, anda mempunyai hidung, yang dapat menghidu pelbagai bau-bauan, aneka ragam. Masih merasa miskin? Bagaimana dengan otot kita? Kaki? Tangan? Mampukah teknologi menggantikannya? Tidak! (Lainlah kalau dah dekat era 3000 tahun nanti,mungkin macam bio-nik..pun ada..he.he..)
Minda kita sangat hebat dan luar biasa sekali, banyak sekali orang di zaman moden ini mula membuka mata mengenai kekuatan minda, ramai yang mencari erti sebenar kuasa minda ini, apakah gunanya? Bagaimana dan banyak lagi persoalan, saya juga sampai hari ini masih menjejaki ilmu-ilmu berkaitan minda ini, termasuk minda bawah sedar, kuasa dalam dan banyak lagi, ada banyak ilmu yang kelihatan aneh tetapi nyata seperti kuasa telepati, hipnosis, telekenisis, betulkah manusia mampu melakukannya?
Semuanya masih menjadi misteri di dalam minda. Jauh di dalam diri kita, tersimpan satu tenaga hebat yang sangat luar biasa yang sedang berusaha untuk digali, dicari dan diterokai oleh ribuan malah mungkin jutaan orang di luar sana. Kita masih mencari cari di luar, sedangkan apa yang kita cari itu adalah dalam diri kita sendiri.
Saya tertarik dengan satu kisah pendek yang telah lama saya dengar, bertahun tahun yang lampau, kisah mengenai seorang pendeta yang merasa ilmu kung fu nya belum cukup hebat, sehingga dia sampai di kutub utara. Dia berjumpa seorang lelaki yang cukup tua dan setelah menyatakan hasratnya, lelaki tua yang dijumpainya itu ketawa terbahak bahak, dia hairan dan bertanya, lalu lelaki tua itu menjawab “Kuasa yang kamu cari ada di dalam diri kamu sendiri, maka sia sia kamu datang kemari kerana kamu sudah ada kuasa itu”
Maksud kuasa ada dalam diri itu bukan bermakna untuk mengali ilmu itu, kita tidak perlukan guru, kita harus dan wajib berguru agar kita tidak tersesat, ilmu dalam diri maksudnya kita mencari tahu bagaimanakah cara untuk menggali potensi diri kita itu dan bukannya dengan meminta bantuan dari pelbagai benda yang aneh-aneh sehingga melibatkan pemujaan dan sebagainya.
Saya suka dengan kata-kata ini :
“Kamu melihat perkara seperti adanya,
Namun kamu masih bertanya kenapa?
Sedangkan saya mengimpikan sesuatu yang belum pernah ada
Dan mengatakan kenapa tidak?”
Manusia tidak pernah merasa puas. Ini adalah gambaran sifat dalam manusia. Benarkan? Saya masih muda dan memang merasakan ilmu di dada belum cukup, malah 1 per sejuta pun belum sampai pada perkiraan saya, namun bagaimana dengan lelaki yang sudah berusia lanjut? Sehingga 80 hingga 90 tahun? Apakah ilmu mereka sudah cukup? Adakah mereka merasa puas? Hanya mereka yang dari usia muda telah menetapkan matlamat hidup, apa yang mereka mahu sahaja yang berkemungkinan menjawab ya, saya sudah cukup dan puas dalam kehidupan saya, sedangkan yang selebihnya masih berharap dapat muda kembali dan bermacam macam lagi, ada yang harap di beri peluang sekali lagi, namun sayang, kerana peluang hidup hanya sekali sahaja, gunakanlah peluang hidup yang sekali ini untuk kita berbuat sesuatu. Kalau boleh, kita mahu lakukan semuanya, segala galanya di dalam hidup kita ini. Sekaya mana pun manusia, dia tidak pernah merasa puas, dia masih mahu menjadi yang terkaya. Sehebat manapun manusia, dia tetap akan mati juga.
“Hidup hanya sekadar untuk mati”
Kata kata ini dalam maknanya, bila dilihat, sebenarnya kita hidup bukan dengan tujuan apa, hanya sekadar singgah sebentar, berbuat baik, melakukan sesuatu di dalam hidup kita dan kemudiannya mati dan kembali semual ke asal kita iaitu tanah.
Ketika kita mati nanti, apa yang kita bawa bersama kita? Harta? Tidak! Kita pergi dengan tangan kosong sahaja, hanya amalan, doa-doa dan perbuatan baik kita yang ikut bersama sebagai bekalan kita di sana, sementara yang lain akan tetap tinggal di dunia, kerana itulah digelar ‘daki dunia’ kerana tidak boleh dibawa mati.
Sudah cukup baikkah kita? Sudah cukup bersediakah kita? Hanya masa menentukannya.
p.s. he..he..dah macam luahan hati lah pula…apapun kalau ada yang salah, harap maafkan ya. Mana yang baik kita jadikan pegangan dan pedoman, mana yang tidak baik..err..apa kata orang tua2 tu? Dijadikan sempadan? Hah..betullah tu..Ok..sampai jumpa di lain post ya.
No comments:
Post a Comment