Sunday, November 14, 2010

Sekilas Renungan Malam (Repost)

Semalam, ketika diri ini sedang duduk di ruang tamu di tingkat atas, aku membuka jendela dan angin malam masuk dan meniup lembut dan damai, walaupun bahang kepanasan dari matahari senja masih terasa, tetapi seketika kelembutan angin malam menghilangkannya.

Hati ini tiba-tiba terdetik, damai sungguh suasana malam, jauh di hamparan langit yang hitam, ada beberapa taburan cahaya kecil (bintang-bintang) yang menghiasi malam sunyi, walaupun masih jelas ada tompokan awan. Kerlipan cahaya yang bergerak menggamit perasaan ini, apakah benda itu?

Ah, rupanya hanya kapal terbang yang sedang dalam perjalanan menuju ke destinasinya. Mungkin saja para penumpang yang berada di dalam ada yang tidur, ada yang membaca dan mungkin ada juga yang sedang makan atau minum, ada kanak-kanak, ada orang tua, ada orang muda, lelaki dan perempuan.

Tak disedari, cahaya kapal terbang itu pun hilang, aku mengalih perhatian kembali ke bintang-bintang kecil itu.

Alangkah hebat mata ini! Bintang-bintang kecil itu sebenarnya mungkin jauh lebih besar dari matahari! Tetapi kerana jaraknya yang tersangat jauh iaitu di luar Galaksi Bima Sakti, ia kelihatan kecil.

Mata kita mampu melihat jarak yang sangat jauh, malah lebih jauh dari jarak pluto (pluto sudah tidak disenaraikan sebagai planet lagi, kerana ianya adalah ketulan ais besar)

Hebat bukan? Bukankah ini yang kita harus bersyukur dan berbangga? Kita insan yang hebat! Jangan sesekali menafikannya.

Perjalanan masa sungguh ajaib dan luar biasa, tanpa aku sedari, aku sudah berusia 22 tahun. Sekejap sungguh perjalanan ini, sedangkan masih banyak yang hendakku lalui, hendakku timba.

Puas dengan pandangan dan khayalanku mengenai angkasa raya, aku menatap kembali bumi malam ini, nun jauh disana, pelbagai cahaya kelihatan, ada yang biru, ada yang kuning, ada yang cerah, ada yang merah, bermacam jenis cahaya warna, semuanya beraneka ragam.

Sekali lagi hati ini terdetik, aneka ragam itulah yang 'menghidupkan suasana'di bumi kita ini, kelainan itulah yang mencipta kesempurnaan dan keindahan.

Bayangkan sejenak jika semua yang ada dibumi ini sama dan serupa? Wajah pun sama? Bagaimana? Dapatkah kita bayangkan? Sudah begitu, nama pun sama, jantina sama, jenis sama, perangai sama, cuaca sama, semua sama dan sempurna.

Andai itu terjadi, maka dunia ini akan menjadi bumi yang sempurna tetapi "mati"! Harap-harap tak jadi begitu ya.

Aku menarik nafas panjang dan menghembus perlahan-lahan, segar sungguh udara malam, terasa paru-paru ini bersih dengan kesejukan yang ajaib.

Aku menutup jendela dan masuk tidur, aku berdoa agar malam ini aku dan keluargaku, keluarga sahabat-sahabatku, saudara-saudaraku, jauh atau dekat dan semuanya, dijaga dan dilindungi oleh malaikat-malaikat yang ada disini.

Kita berdoa dan menyerahkan hidup ini ke tangan Tuhan kerana kita tahu Tuhan ada untuk kita. Sebesar manapun dugaan yang datang pada kita, kita tahu kita tak perlu takut, kerana kita ada Tuhan.

Terima kasih Tuhan untuk pembelajaran berguna malam ini. Semoga diri ini akan terus dapat merenung dan bermuhasabah diri sentiasa dan semoga diri ini dapat memberikan erti berguna bagi orang lain dan membantu sesama kami. Syukur kepada ALLAH.

No comments:

Post a Comment