Tuesday, June 15, 2010

Kalau Pun Kita Tidak Mampu...

Renungan Bersama Buat Sahabat Semua.

Salam Sejahtera,
Bagaimana keadaan anda sekeluarga hari ini? Sihat? Harap begitulah hendaknya. Kita cukup bertuah lahir di Malaysia. Walaupun mungkin, ada diantara kita terpaksa bekerja keras untuk mencari wang demi sesuap nasi, terpaksa berjimat dan sebagainya. Tapi, cuba kita renungkan balik keadaan diri kita ini. Betapa kita dilahirkan, walaupun susah tetapi kita masih boleh menjalani hidup dengan senyuman. Perhatikan isu-isu semasa, berita luar negara. Apa yang berlaku?

Terdapat banyak orang yang menderita di luar sana, yang mana jauh lebih menderita jika dibandingkan dengan kita, jadi janganlah kita rasa kitalah orang yang paling menderita di dunia. Bukan saya niat untuk mengatakan sesuatu yang buruk disini, tidak sama sekali. Saya hanya seorang penulis yang mencoretkan rasa hati saya, bukan untuk mengatakan sesuatu yang membawa keburukan tetapi untuk membawa kita merenung bersama.

Kita ada Rancangan Bersamamu khusus untuk orang-orang yang tak berkemampuan dan kurang upaya, kita ada banyak agensi-agensi badan kerajaan, NGO atau perseorangan yang membantu dan menolong mereka-mereka ini, tapi di luar negara, mereka langsung tidak ada tempat pun untuk mengharap. Peluru hidup yang menunggu masa untuk menamatkan riwayat mereka mengancam setiap saat dan waktu.

Undang-undang mereka dicabuli. Hak dan kebebasan mereka ternoda. Tatkala kita merungut kerana sesuatu hal yang berlaku pada kita, mereka hanya dapat titiskan air mata mereka. Ketika kita sedang berehat santai di rumah lepas balik kerja, mereka sentiasa dirundung kesedihan. Semasa kita makan, minum dan melepas lapar dahaga, mereka menangis kelaparan.

Ketika kita bercakap mengenai rumah kita, rumah mereka di bom dan dihancurkan. Ketika kita sedang berbicara mengenai kebebasan bersuara, mereka dibunuh dengan kejam dan sadis.

Kita mungkin tidak rasakan semua itu kerana kita hidup disini, kita hidup di Malaysia. Negara yang aman makmur dan sentosa, kenapa tidak kita jaga semua itu?

Walaupun kita tidak mampu untuk menolong mereka di luar sana, yang menderita tiap waktu, tapi kita mampu untuk berdoa bagi mereka, kerana kuasa doa tidak ada batasnya dan kuasanya sangat luar biasa. Doa adalah bicara dari hati kita terus kepada Tuhan. Doa adalah sesuatu yang suci dan murni. Jangan pernah berdoa untuk selamatkan seseorang dengan kemusnahan seseorang. Tetapi berdoalah agar mereka yang tertindas dan menderita mendapat kegembiraan serta yang menindas sedar akan kesalahan mereka. Mintalah agar mereka-mereka yang mempunyai kewangan yang teguh dan kukuh, dapat sama-sama membantu para penderita yang jumlahnya sangat banyak di luar sana.

Semoga hari dan hidup kita di hari selasa, 15 Jun 2010 ini diberkati Tuhan, dimudahkan segala urusan kita, dibantu dalam setiap hal yang kita lakukan dan diberikan petunjuk dan bimbingan agar kita tidak tersesat dalam menjalani satu lagi rentetan hari dalam diari hidup kita.

Salam Ceria Semua!

No comments:

Post a Comment